Thursday, 20 September 2012

Penyakit : Budi Yang Mencacatkan Peribadi

Berdasarkan ukuran nilai tersebut untuk membentuk personaliti atau peribadi yang tinggi, mengikut seorang falsafah dan ahli tasauf islam Muhyiddin Ibnu Arabi (seseorang itu hendaklah menjauhkan dirinya  daripada 17 macam punca penyakit budi dan cacat perangai iaitu :-

1. FUJUR - Tenggelam dalam pengaruh syahwat hawa nafsu memperturutkan kehendak-kehendak yang keji dan memperbuatnya secara terang-terangan di depan khalayak ramai tanpa rasa malu.

 2. SYARAH - Tamak kepada harta benda , sehingga tidak mempedulikan sama ada ia dari jalan halal mahupun haram. Dan tidak segan berlaku curang, tidak kenal malu dan sanggup menjual maruah diri kerana wang.

3. TABAZZUL - Tidak tahu harga diri. Berteman dengan orang-orang yang tidak bermoral, suka menghabiskan masa di majlis-majlis tatasusilanya. Bergurau senda melampaui batas kesopanan. Suka memperkatakan hal-hal yang lucah.

4. SAFAH - Tersinggung sedikit cepat marah, mencarut, memaki hamun serta lekas mengambil keputusan membusukkan orang lain, cepat menyumpah serapah apabila bertemu dengan keadaan yang mencemaskan (kelam-kabut).

5. CARQ - Suka bercakap mengenai hal-hal bersangkutan dengan kepentingan diri sendiri. Dalam perbualan cakapnya saja yang mesti di dengar. Gerak-gerinya tidak berpedoman. Ketawa terbahak-bahak. Kalau ada pertanyaan, cepat-cepat menjawab tanpa memikirkan sama ada ia benar atau tidak, asalkan menjawab.

6. QASWAH - Di dalam kalbunya bersarang kebencian dan dendam disertai oleh keberanian. Untuk mencapai hasratnya sanggup berlaku kejam.

7. KHADAR - Memungkiri janji atas keamanan atau keampunan yang telah diikrarkan kepada musuh yang menyerah kerana berpegang kepada janji yang diberikan. Kalau ia merupakan muslihat, maka termasuk ke dalam muslihat yang keji.

8. KHIANAT - Pecah amanah yang dipikulkan, baik berupa harta benda, kehormatan diri mahupun rahsia peribadi, termasuk memutarbelitkan perkataan orang lain dengan tujuan tertentu sehingga menimbulkan salah faham.

9. BOCOR MULUT - Gabungan dari kelakuan carq dan khianat, membuka rahsia yang dipercayai oleh orang lain. Kejinya lebih jika rahsia itu adalah rahsia negara, kerana hendak bermegah-megah menunjukkan mempunyai hubungan dengan orang-orang penting negara. Termasuk sama sifat "namimah" menyebarkan berita yang mengeruhkan lagi keadaan yang tenteram.

10. TAKBUR - Memuji diri dengan mendabik dada menyatakan diri sendiri saja yang benar, diri sendiri saja yang pandai, diri sendiri saja yang berjasa, diri sendiri saja yang lebih dan orang lain semuanya ada cacat celanya.

11. KHABAS - Berniat jahat kepada orang lain dengan menggunakan segala daya untuk merugikannya.

12. BAKHIL - Memandang harta sebagai tujuan hidup dan hartalah yang menentukan segala-galanya. Enggan menderma harta untuk mashalat umum.

13. JUBUN - Takut menghadapi tanggungajawab, pengecut, dan gentar menerima akibat walaupun yang diperjuangkan adalah untuk mempertahankan kebenaran, agama, negara dan bangsa.

14. HASAD - Rasa sakit hati yang menghiris-hiris di dalam perasaan kerana melihat nikmat yang di terima oleh orang lain dan merasa lega serta hilang sakit hatinya jika melihat orang itu jatuh.

15. JAZA - Gentar seketika sewaktu menghadapi kesusahan. Iaitu sifat gabungan dari carq dan jubun.

16. SYAGHIRUL HIMMAH - Berjiwa kecil, tidak punya cita-cita tinggi, cita-cita sangat terbatas. Merasakan perolehan yang hanya sedikit sudah cukup banyak, merasa cukup dalam ukuran minima. Tidak terlintas di dalam hati untuk meningkatkan diri.

17. AL-JAUR - Segala tindakan dan sikap di luar garis kewajaran. Berlebih-lebihan sangat berkurungan. Berbelanja boros dan tidak pada tempatnya, mempertahankan hak sebanyak-banyaknya dan lupa pada kewajipan, berbuat sesuatu di luar dari yang semestinya.

(Itulah 17 macam sifat atau penyakit budi dan cacat perangai yang menurut ahli falsafah IBNU ARABI yang menjadi pusat keburukkan lain yang menjadi cacat cela bagi peribadi seseorang.)