Monday, 16 April 2012

NIQAB: Hukum dan Perlaksanaannya.





Bismillahirrahmanirrahim.
Permasalahan niqab ini sudah dibahaskan terlebih dahulu oleh para ulama' dan ini hanyalah perkara furu' (cabang) di dalam agama, maka usahlah terus menerima parkongsian ini sebagai muktamat kerana ana bukanlah ahli dalam agama yang merujuk kepada semua pandangan ulama' sebaliknya ini adalah 'homework' ana sebelum dan selepas memakai niqab yang pastinya terlalu banyak kekurangan dari sisi pandang yang ana ambil dari kefahaman yang disampaikan oleh ulama'. Ana juga banyak meminta pandangan dari muslimat yang memakai niqab, pendapat dan pandangan mereka mengenai niqab ana usahakan untuk rangkumkan di dalam post ini.  
Aurat wanita yang disepakati oleh ulama' adalah seluruh tubuh badan wanita kecuali muka dan tapak tangan, hanya sebilangan (minoriti) ulama' sahaja yang menetapkan bahawa muka dan tapak tangan wanita adalah aurat yang wajib untuk ditutup di hadapan ajnabi (lelaki asing - bukan mahram, atau dalam erti kata lain lelaki yang halal untuk dikahwini).

"Benarkah wanita yang berniqab di dunia ini, di akhirat kelak di saat manusia lain menunggu untuk melihat wajah Allah, Allah datang kepada wanita berniqab?"

Mereka mengatakan ini adalah hadith, ana ingin jelaskan di sini ana tidak pernah berjumpa dengan hadith sebegini dan setelah meminta penjelasan dari zauji beliau mengatakan ia adalah hadith rekaan (hadith palsu) semata-mata. Sangat mudah untuk 'mengenal pasti' hadith palsu antara cirinya ialah "buat perkara kecil dapat manfaat besar sangat, tak logik."Sekiranya hadith ini adalah sohih, maka tidak akan berlaku perselisihan di kalangan ulama'.

Jadi, apabila memakai niqab janganlah kerana merasa Allah akan berjumpa dengan muslimah yang berniqab di dunia. Allah, siapalah kita di pandangan Allah untuk mengharapkan sesuatu yang terlalu besar tersebut meskipun kita sangat mengidamkan perkara tersebut. Kembalikan niat untuk melakukan sesuatu bagi mendapatkan keredhaan Allah semata-mata.

"Apakah hukum memakai niqab?"

Hanya sebilangan minoriti ulama' sahaja mewajibkan wanita memakai niqab bersandarkan kepada dalil "Wanita adalah aurat"

Ia tidak berlaku secara mutlak. Kerana tidak mungkin seseorang boleh menampakkan
auratnya di dalam solat. Bagi mereka yang berpendapat bahawa wajah wanita itu aurat adalah minoriti ulama. Sedangkan yang berpendapat bahawa wajah bukan aurat adalah majoriti ulama (jumhur).

Hadith diatas, yang berbunyi.

"Wanita adalah aurat, jika dia keluar maka syaitan memperindahkannya."

Hadith ini tidak boleh diertikan secara mutlak. Ini kerana ada kaedah yang berbunyi :

"Dalil umum yang mengandungi banyak cabang hukum, dimana cabang-cabang hukum itu tidak boleh diamalkan berdasarkan dalil umum tersebut, maka kita tidak boleh berhujah dengan dalil umum tersebut untuk menentukan cabang-cabang hukum tadi."

Misalnya : Orang-orang yang menganggap bahawa bid'ah-bid'ah itu baik adalah berdasarkan dalil yang sifatnya umum. Contoh : Di negeri-negeri Islam seperti Mesir, Syria, Jordan dan lain-lain… ramai orang yang membaca selawat ketika memulai azan. Mereka melakukan ini berdasarkan dalil yang sangat umum iaitu firman Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." [Al-Ahzaab : 56]

Dan dalil-dalil lain yang menjelaskan keutamaan selawat kepada Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam yang merupakan dalil-dalil umum (yang tidak boleh dijadikan hujjah dalam azan yang menggunakan selawat, kerana ia memerlukan dalil khusus, wallahu a'lam.)

Mewajibkan wanita menutup wajah. Berdasarkan hadith : "Wanita adalah aurat", adalah sama dengan keadaan di atas. Ini kerana wanita (sahabiyah) ketika melaksanakan solat mereka umumnya membuka wajah. Demikian pula ketika mereka pulang dari masjid, sebahagian mereka menutupi wajah, dan sebahagian yang lain masih membuka wajah.

Oleh yang demikian hadith diatas (wanita adalah aurat), tidak termasuk wajah dan tapak tangan. Prinsip ini tidak pernah bertentangan dengan praktik orang-orang salaf (para sahabat).

"Adakah para wanita (sahabiyah) memakai niqab?"

Hadith Ibnu Abbas menjelaskan bahawa wajah dan kedua tapak tangan bukan termasuk aurat, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Kitab Al-Mushannaf.

Pendapat ini bukanlah hal yang baru. Para ulama dari kalangan Salafussoleh dan para ahli tafsir seperti Ibnu Jarir At-Thabari dan lain-lain mengatakan bahawa wajah bukan termasuk aurat tetapi menutupnya lebih utama.

Sebahagian daripada mereka berdalil tentang wajibnya menutup wajah bagi wanita dengan kaedah.

"Mencegah kerosakan didahulukan daripada mengambil kemanfaatan."

Memang kaedah ini bukan bid'ah tetapi sesuatu yang berdasarkan syariat. Sedangkan orang yang pertama menerima syariat adalah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam. Kemudian orang-orang yang menerima syariat ini daripada beliau adalah para sahabat. Para sahabat tentu sudah memahami kaedah ini, walaupun mereka belum menyusunnya dengan tingkatan ilmu usul feqh seperti di atas.

Di dalam kitab Hijaab Al-Mar'aatul Muslimah yang dikarang oleh Syeikh Nasiruddin Albani mengenai kisah seorang wanita Khats'amiyyah yang dipandang oleh Fadhl bin 'Abbas ketika Fadhl sedang dibonceng oleh Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, wanita itupun melihat Fadhl. Dia adalah seorang yang tampan dan wanita itupun seorang yang cantik. Kecantikan wanita ini tidak mungkin boleh diketahui jika wanita itu menutup wajahnya dan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ketika itu memalingkan wajah Fadhl ke arah lain. Yang demikian ini menunjukkan bahawa wanita tadi membuka wajahnya.

Sebahagian mereka mengatakan bahawa wanita tadi di dalam keadaan berihram, boleh baginya membuka wajah sedangkan tidak ada tanda-tanda sedikitpun bahawa wanita tadi sedang berihram. Syeikh telah mentarjih (menguatkan) dalam kitab tersebut bahawa wanita itu berada dalam keadaan setelah melempar jamrah, iaitu setelah tahallul awal.

"Dan seandainya wanita tadi memang benar sedang berihram, mengapa Rasulullah tidak menerapkan kaedah di atas, iaitu kaedah mencegah kerosakan?!"

Syeikh berpandangan seorang lelaki terhadap wajah wanita tidak ada bezanya dengan pandangan seorang wanita terhadap wajah lelaki dari segi syariat dan dari segi tabiat manusia.

Oleh sebab itu Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman. "Hendaklah mereka menahan pandangannya," [An-Nuur : 30]

Maksudnya daripada (memandang) wanita.

Dan Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Dan katakanlah kepada wanita yang beriman. "Hendaklah mereka menahan pandangannya," [An-Nuur : 31]

Maksudnya iaitu jangan memandang seorang lelaki.

Kedua ayat diatas mengandungi hukum yang sama. Ayat pertama memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah wanita dan ayat kedua memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah lelaki.

Sebagaimana kita tahu pada ayat kedua tidak memerintahkan seorang lelaki untuk menutup (wajahnya). Demikian pula ayat pertama tidak memerintahkan seorang wanita untuk menutup wajah.

Kedua ayat di atas secara jelas menyatakan bahawa di zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ada sesuatu yang biasa terbuka dan boleh dilihat iaitu wajah. Maka Allah, Si Pembuat syariat dan Yang Maha Bijaksana memerintahkan kepada kedua jenis menusia (lelaki dan perempuan) untuk menundukkan pandangan masing-masing.


Secara Umumnya :

Syeikh di dalam kitabnya mengatakan beliau tidak pasti di kalangan sahabat ada yang mewajibkan wanita memakai niqab. Tetapi lebih utama dan lebih mulia bagi wanita untuk menutup wajah. Adapun m
wajibkan sesuatu wajib berdasarkan hukum yang jelas di dalam syariat. Tidak boleh mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan Allah.

Oeleh kerana itu Syeikh telah membuat satu bab khusus di dalam kitab Hijabul Mar'aatul Muslimah, untuk membantah orang yang menganggap bahawa menutup wajah wanita adalah bid'ah. Beliau telah jelaskan bahawa hal ini (menutup wajah) adalah lebih utama bagi wanita.

Pada pendapat Imam at-Tohawi dari mazhab Hanafi berkata:

"Ditegah wanita muda mendedahkan muka kerana ditakuti fitnah, bukan kerana ianya aurat."

Menutup muka kerana timbulnya fitnah

Para ulama empat mazhab bersepakat bahwa wajib wanita menutup mukanya kerana takut fitnah dan berlakunya keburukan.

Imam Kauthari r.a. berkata:

"Pendapat ulama yang mengharuskan menunjukkan muka adalah sekiranya tidak timbulnya fitnah."

"Saya nak pakai niqab tapi ibubapa tak benarkan, apakah saya boleh memakai niqab tanpa pengetahuan ibubapa saya?"

Sekali lagi dijelaskan bahawa memakai niqab bukanlah wajib tetapi lebih baik (mulia) untuk wanita, manakala mentaati kedua ibubapa adalah wajib bagi seorang anak perempuan sebelum berkahwin. Maka, menurut kehendak ibubapa untuk tidak berniqab adalah lebih baik kepada wanita yang belum berkahwin ini adalah kerana kita perlu mendahulukan perkara yang wajib berbanding yang sunat. Sekiranya tiada keperluan untuk keluar dari tempat tinggal, maka tidak perlu untuk keluar di khalayak ramai. Ini adalah lebih baik dan selamat untuk wanita.

"Saya memakai niqab tetapi tidak semua tempat membolehkan saya memakai niqab. Contohnya di tempat kerja atau sekolah, sama sekali tidak membenarkan saya memakai niqab. Saya teringin untuk istiqamah berniqab tetapi keadaan tidak membenarkan saya melakukan demikian."

Secara umumnya tidak timbul isu 'istiqamah atau tidak' dalam memakai niqab kerana permasalahan mengenai sesuatu hukum boleh berubah mengikut keadaan kepada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Satu situasi, seorang muslimah boleh berubah menjadi wajib memakai niqab sekiranya memiliki rupa paras yang menarik perhatian lelaki dan boleh jadi situasi yang lain seorang wanita hanya sunat memakai niqab untuk mengikuti sunnah para isteri Rasulullah.

Kesimpulan: Ini adalah perkara yang khilaf dikalangan ulama. Kita hendaklah terbuka dalam masalah khilaf yang kuat dikalangan ulama'.

Seorang kakak yang sangat ana hormati dalam pendapatnya menerangkan bahawa niqab bukan sekadar menghijab wajah dari pandangan lelaki tetapi niqab juga adalah sebagai benteng untuk menjauhkan diri dari maksiat, apabila menutup mulut ia adalah satu nasihat kepada diri sendiri untuk menghindari mengumpat, mencela dan menggunakan perkataan yang tidak sopan. Seorang muslimat lainnya menjadikan niqab sebagai satu motivasi untuk sentiasa menjaga solat, tidak melewat-lewatkan solat lantaran imej muslimah yang dibawanya telah merubah peribadinya ke arah yang lebih baik. Masya Allah :)

"Bagaimana kamu makan di khalayak ramai?"

Terpulang kepada jenis niqab yang dipakai. Ada muslimah yang berniqab sentiasa membawa niqab simpanan di dalam tas tangan, sekiranya makan makanan yang berkuah (seperti laksa, tomyam dsb) dan niqabnya kotor maka mudah untuk menukar niqab. Ada yang selesa makan di tempat yang tersorok dari pandangan umum, maka mudah untuknya membuka niqab di hadapan keluarga semasa makan di luar.

Niqab juga berbeza, ada yang memakai niqab butang atau jarum peniti di luar tudung maka apabila makan mudah untuk membuka niqab di tempat tersorok. Ada muslimah yang memakai niqab bergetah, maka hanya turunkan niqab di bawah dagu untuk makan di tempat tersorok. Sebahagian lagi memakai niqab hitam (seperti arab) yang diikat di belakang kepala, maka, mereka akan menyelaknya dari bawah niqab dan makan seperti biasa :)



"Alangkah indahnya andai daulah islamiyyah tertegak, tidaklah orang yang berniqab kelihatan pelik."

Indahnya ummat Islam itu bukan kerana dia adalah seorang Muslim tetapi yang mengindahkan ummat Islam adalah pelaksanaan syariat Islam di dalam kehidupannya.

Wallahua'lam.




No comments:

Post a Comment