Thursday 1 March 2012

10 Srikandi Islam



10 Srikandi Islam yang patut dicontohi:
Berikut merupakan 10 serikandi agama tauhid yang wajar dijadikan contoh, khususnya oleh muslimah sekalian. Semoga keperibadian diri mereka menjadi pembakar semangat untuk kita memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa, insya Allah.

1. Aminah binti Wahab Radhiyallahu 'Anha
Seorang wanita suci yang dipilih untuk melahirkan penghulu sekalian manusia, yakni ...Nabi Muhammad SAW, nabi junjungan mulia. Beliau bukan sekadar ibu dan wanita biasa, tetapi seorang wanita pengukir sejarah yang menggoncang dunia, tatkala anak yang dilahirkannya mengubah pola pemikiran masyarakat Arab jahiliyah kepada masyarakat yang mengagung dan meng-Esakan Allah SWT. Kehilangannya buat selama-lamanya di dunia ini ternyata memberikan suatu kesan yang mendalam terhadap diri Muhamamad b. Abdullah yang masih kecil dan tidak mengenal erti kehidupan.

2. Saidatina Khadijah binti Khuwailid Radhiyallahu 'Anha
Namanya dikenali oleh setiap muslim di muka bumi. Beliaulah merupakan wanita pertama yang beriman terhadap Allah dan Rasul-Nya. Beliau merupakan isteri pertama Rasulullah SAW yang berjuang bermati-matian untuk menegakkan kalimah Allah. Keharuman keperibadian mulianya harum dicium apabila sejarah mentintakan, beliau sanggup menghabiskan segala hartanya untuk Islam. Beliau juga menjadi penenang dan pendamping setia kepada Rasulullah SAW sewaktu Baginda SAW dalam keadaan tertekan akibat dicemuh dan dihina oleh kaum musyrikin Mekah. Beliau bukan sahaja seorang wanita yang cantik, beliau juga mengukir kejayaan dalam bidang perniagaan di Tanah Arab.

3. Saidatina 'Aisyah binti Abu Bakar Radhiyallahu 'Anha
Beliau merupakan isteri Baginda SAW yang paling romantik. Perasaan cemburu terhadap Saidatina Khadija radhiyallahu 'anha kadang-kala menyelebungi dirinya kerana kasih dan cinta terhadap Baginda SAW. Selepas kewafatan Saidatina Khadijah Radhiyallahu 'Anha, beliaulah yang menjadi penghibur kepada Rasulullah SAW dengan gaya lincahnya. Beliau sering berpenampilan kemas, cantik, dan memakai wangi-wangian yang disukai oleh Rasulullah SAW. Saidatina 'Aisyah Radhiyallahu 'Anha kembali ke rahmatullah pada hari Isnin malam Selasa, 17 Ramadhan tahun 58 Hijrah. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat. Penuh sayu beliau membisikkan,

“Kuburkanlah aku pada waktu malam di Padang Baqi’, jangan di samping Rasulullah kerana aku sangat malu terhadap baginda.”

4. Saidatina Fatimah binti Muhammad Radhiyallahu 'Anha
Puteri Rasulullah SAW yang tinggi budi pekertinya. Beliau merupakan seorang isteri yang setia kepada Saidina Ali karramallahu wajhah walaupun suaminya adalah seorang lelaki yang miskin. Sanggup bersusah payah mengharungi hidup bersama suaminya. Kesanggupan untuk bersusah-payah untuk hidup bersama Saidina Ali r.a. jelas terpancar, apabila beliau sanggup melakukan kerja-kerja berat, tanpa pembantu, kerana Saidina Ali tidak mampu untuk mengupah pembantu untuk membantu Saidatina Fatimah. Beliau tidur berkongsikan 1 bantal dan kadang-kadang berbantalkan lengan Saidina Ali r.a..

5. Saidatina Asma' binti Abu Bakar Radhiyallahu 'Anha.
Bersusah payah menghantar makanan kepada Rasulullah SAW sewaktu Rasulullah SAW dan ayahandanya bersembunyi di gua Tsur. Pengorbanan ini bukanlah suatu pengorbanan yang calang-calang, kerana beliau sedang mengandung pada ketika itu dan sanggup bersusah payah mendaki bukit yang berbatu untuk menghantar makanan kepada Rasulullah SAW dan ayahandanya. Kebijaksanaanya terselah, apabila beliau menggembala kambing di belakangnya sepanjang perjalanannya menghantar makanan, supaya jejaknya dapat dihapuskan. Selain daripada menghantar makanan, beliau juga menjadi penyampai berita kepada Baginda SAW sewaktu Baginda SAW sedang bersembunyi di gua Tsur.

6. Saidatina Sumayyah binti Khubath Radhiyallahu 'Anha
Namanya terkenal dengan ketegasannya mempertahankan aqidahnya walaupun diseksa dengan amat kejam. Beliau pernah diseret bersama-sama keluarganya ke padang pasir yang amat panas sehingga menyebabkan kehausan, supaya beliau murtad daripada agama Allah. Namun, seksaan-seksaan yang diharungi tidak sedikitpun menggoyahkan imannya, bahkan menguatkan lagi keimanannya. Beliau gugur syahid setelah Abu Jahal Laknatullah menikamnya menggunakan tombak tepat di ulu hatinya.

7. Siti Muti'ah Radhiyallahu 'Anha
Namanya jarang dikenali oleh sebahagian daripada kita. Tetapi, Rasulullah SAW menyarankan Saidatina Fatimah Radhiyallahu 'Anha untuk bertemu dengannya disebabkan kemuliaannya yang memuliakan suaminya. Beliaulah pelayan kepada suaminya. Mulianya serikandi Islam ini sehingga beliau menyediakan rotan kepada suaminya, agar suaminya memukulnya sekiranya beliau memberikan layanan buruk kepada suaminya.

8. Saidatina Maryam
Wanita suci yang sentiasa memelihara kehormatan diri daripada disentuh mana-mana lelaki. Rahimnya dipilih oleh Allah untuk mengandungkan Nabi Isa a.s. walaupun tiada benih yang disemai di dalam rahimnya.

9. Permaisuri Asiyah
Seorang serikandi agama Tauhid yang bermati-matian mempertahankan anak angkatnya, Nabi Musa a.s. daripada ancaman suaminya, Firaun Laknatullah. Beliau langsung tidak gentar terhadap ancaman Firaun dan konco-konconya. Akhir hayatnya, beliau diseksa oleh Firaun dengan satu seksaan yang kejam. Firaun mengarahkan orang suruhannya untuk memancangkan kedua-dua kaki dan tangannya dengan empat pancangan kemudian dibiarkan sinar mentari membakar tubuhnya. Firaun menyuruh mereka mencari batu besar untuk dihempap di atas badan Permaisuri Asiyah.

Kemudian, Asiyah berdoa, "Ya Tuhanku, bangunkanlah daku untukku rumah di syurga di sisi-Mu". Sebelum batu itu dihempap di atas badannya, malaikat telahpun mencabut nyawanya, dan beliau tidak merasai kesakitan seksaan Firaun.

10. Kabsyah binti Rafi' Radhiyallahu 'Anhu
Sahabiyyah ini adalah antara wanita mukminah yang menyajikan jalan-jalan tauladan dan termasuk salah seorang wanita yang memberikan kesaksian kebenaran bagi Rasulullah. Baginda Rasul turut menjanjikan imbalan kebaikan dan mendoakan barakah baginya. Ketika iklim iman menggantikan kegelapan jahiliyyah dan mentari hidayah mulai terpancar di tanah Madinah, sahabiyyah ini hidup dan tampil sebagai penolong bagi Islam, mencurahkan sekalian yang dimiliki dan menjadi ibu kepada dua orang anaknya yang gugur sebagai syuhada’; dua pahlawan Islam yang segar di dalam medan sejarah.

Beliaulah ibu yang Arasy Ar-Rahman pun bergoncang kerana kematian anak-anaknya. Beliaulah ibu yang memutuskan perkara dengan hukum Allah dari atas langit ketujuh. Anak beliau ialah penjaga Rasulullah ketika Perang Badar, yang juga pemegang panji dari golongan Ansar, serta salah seorang ahli majlis syura Rasulullah ketika itu. Anak beliau adalah As-siddiq kedua setelah Abu Bakar. Anak beliau jugalah wakil Rasulullah di saat Perang Buwath. Dari rumah pasangan Kabsyah bintu Rafi’ dan Muadz bin An-Nu’man inilah, lahirnya sosok-sosok peribadi Saad bin Muadz, Amru bin Muadz, Iyas, Aqrab dan Ummu Hizam. Maka, setelah mendengarkan nama-nama ini, masihkah kita menginginkan tambahan karamah untuk memuliakan beliau? Renungkanlah~♥

No comments:

Post a Comment